IBADAT PUASA :
fasal 1 : PUASA BULAN RAMADHAN
Firman Allah Taala:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.
"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".
1. Ayat 183, Surah Al-Baqarah.
Firman-Nya lagi:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur`an, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu .. ".
2. Ayat 185, Surah Al-Baqarah.
____________________________
Berpuasa pada bulan Ramadhan - sebagaimana yang sedia maklum - ialah "rukun Islam yang keempat". Dalilnya dari al-Qur'an ialah ayat-ayat suci yang diterangkan di atas dan dari hadith pula seperti berikut:
1- عَنْ
ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْإِسْلَامَ بُنِيَ عَلَى خَمْسٍ
شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ
وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَحَجِّ الْبَيْتِ. (رواه مسلم)
1-
Dari Ibn Umar, r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Islam itu
dibina dan ditegakkan di atas lima dasar (lima rukun), iaitu mengucap
dua kalimah syahadat (dengan meyakini serta menerangkan kebenaran)
bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah,
mendirikan sembahyang, memberi zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan,
dan mengerjakan haji ke Baitullah".
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Menurut sejarahnya puasa bulan Ramadhan telah difardhukan atas umat Islam dalam bulan Sya'aban, tahun yang kedua Hijriyah.
_________________________________
1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (1:177).
[+] Ta'rif Puasa dan Kelebihannya
Puasa
ertinya menahan diri, dan pada syarak maksudnya menahan diri daripada
segala yang membatalkan puasa, mulai dari masa terbit fajar hingga
tenggelam matahari disertakan dengan niat.
[+] Membendung Kemahuan Hawa Nafsu
Menurut
huraian ulama' rahimahumullah:
"Sebahagian besar dari kejadian kacau
bilau yang berlaku dalam sebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan
hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas sehingga ada yang melupai
kehormatan diri dan rumah tangga, mencuaikan tugas dan kewajipan,
mengkhianati amanah dan berbagai perkara jenayah lagi.
"Oleh
itu, kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya,
serta melatih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang
zahir dan yang batin sebagaimana yang terdapat dalam amalan puasa adalah
menjadi satu cara hidup yang aman sentosa.
"Dengan yang demikian, nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau rukun Islam."(1)
1. Muqaddimah Mastika Hadith (hlm. 57).
[+]Kelebihan_Puasa Secara Umum
Kelebihan atau fadhilat puasa secara umum - sama ada yang wajib atau yang sunat - diterangkan dalam hadith yang berikut:
2- عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ عَزَّ
وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ هُوَ لِي وَأَنَا
أَجْزِي بِهِ. (رواه مسلم)
2-
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya: "Segala
amal bakti anak Adam adalah untuknya, kecuali amalan puasa, (maka) ia
adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang
sebaik-baiknya) .."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Oleh
kerana amalan puasa (yang wajib dan yang sunat) itu dikerjakan secara
tertutup antara seseorang dengan Tuhannya berdasarkan ikhlas semata-mata
- berbanding dengan amal-amal bakti yang lain yang dikerjakan secara
terbuka, maka amalan puasa yang demikian amatlah besar pahalanya dan
hanya Allah jua yang dapat menilai dan memberi balasan yang sepadan
dengannya.
1. Al-Ahadith al-Qudsiyah (1:172). Hadith ini ialah "Hadith Qudsi" diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dan lain-lainnya. Ta'rif Hadith Qudsi telah diterangkan dalam "Muqaddimah Mastika Hadith".
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
3- عَنْ
مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَالَ لَهُ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ
وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ. (رواه الترمذي)
3-
Dari Mu'az bin Jabal r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda
kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebajikan?"
"Mahu, ya Rasulullah", jawabku. Baginda pun menerangkan, sabdanya:
"Puasa itu perisai (dari kejahatan) dan sedekah pula menghapuskan
dosa sebagaimana air memadami api ... (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
4- عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ
يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (رواه الإمام أحمد وغيره)
4-
Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa
dan Al-Qur'an memohon syafa'at kepada Allah pada hari kiamat - bagi
orang-orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula
membaca Al-Qur'an) .. (1).
(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya)
1. Kitab yang sama (2:84).
Selain
daripada menjadi sebab yang membawa rahmat di akhirat kelak, puasa juga
menjadi sebab yang membawa kebaikan yang berkesan di dunia ini.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
5- عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا تَصِحُّوا وَسَافِرُوا
تَسْتَغْنُوا. (رواه الطبراني)
5-
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: " ..
berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu
menjadi kaya .. (1)
(Hadith Riwayat Tabrani)
Al-Targhib (2:83), rawi-rawinya diakui benar.
[+] Kelebihan Puasa Ramadhan Secara Khusus
Mengenai puasa Ramadhan secara khusus, diterangkan dalam hadith yang berikut:
6- عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا
غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري ومسلم)
6-
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Sesiapa
yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan
mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya
yang telah lalu". (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut
huraian Imam Nawawi rahimahullah Amal-amal kebajikan yang menjadi sebab
untuk menghapuskan dosa-dosa yang tersebut, maksudnya dosa-dosa kecil
Kalau tiada dosa kecil, ia dapat meringankan dosa-dosa besar Kalau tiada
dosa-dosa besar, ia dapat meninggikan darjat
orang-orang itu di dalam syurga (2)
1. Minhaj al-Salihin - min Ahadith Khatam al-Anbiya' wa al-Mursalin (181).
2. Tuhfat al-Ahwadzi (6:362).
Rujukan: MASTIKA HADITH JILID 3