Soalan:
Saya
mempunyai satu sifat buruk, iaitu sukar bersangka baik kepada orang lain.
Setiap kali seseorang berlaku sopan kepada saya, saya selalu menyangka pasti ada
apa-apanya. Berdosakah memiliki perasaan seperti ini?
Jawapan:
Hidup kita
tidak lekang daripada disangka buruk dan menyangka buruk. Oleh itu kunci
menanganinya adalah beristighfar dan taubat.
Sangka
buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia
sangat sukar dibuang, namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang
perlu kita hindari sedaya upaya.
Dalam
sebuah hadis dinyatakan:
“Tiga
perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri daripadanya; sial
menyial, sangka buruk dan hasad dengki. Maka apabila kamu berasa ada sial,
jangan kamu mengendahkannya. Bila kamu hasad, jangan melampau (hingga
bertindak). Dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya.” (Musannaf Abd
Razzak dengan sanad mursal)
Dr. Yusuf
al-Qaradawi menerangkan maksud “jangan membenarkan sangkaan buruk” iaitu jangan
mengubah sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika
itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya.
Sangkaan
Buruk yang Dibolehkan
Soalan:
Saya
terfikir, kalau kita selalu bersangka baik, suatu hari nanti kita akan menjadi
mangsa tipu daya dan kejahatan orang lain. Ada tak sangka buruk yang dibolehkan
dalam Islam?
Jawapan:
Tidak
dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan
diri. Ia dinamakan sebagai berhati-hati atau ‘hazar’.
Contoh yang
mudah, seorang pemandu kereta dikehendaki “bersangka buruk” apabila melihat
sebuah bas dan teksi di depan mereka. Ia mesti bersiap kemungkinan kenderaan
itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil atau menurunkan penumpang. Ini
jelas sangka buruk yang tidak berdosa.
Demikian
juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak
majikan akan membuat tinjauan rambang dan menghubungi beberapa orang bagi
mendapatkan informasi berguna berkaitan calon.
Saya masih
ingat, saya pernah menerima resume sewaktu bertugas di institusi kewangan
dahulu. Resume calon ini cukup menarik.
Namun
mengikut prosedur, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si
calon sebelum memanggilnya interview.
Akhirnya,
kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai
masalah mental. Kami dapatkan komen beberapa orang lagi demi memastikan
maklumat yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun, maklumat yang sama
diperolehi.
Sangka
Buruk Yang Haram
Soalan:
Menurut
Ustaz, apakah sebenarnya punca dan sebab lahirnya perasaan sangka buruk
terhadap orang lain?
Jawapan:
Sangka
buruk jenis haram dan berdosa biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad
dengki dan berniat menjatuhkan.
Sangka
buruk jenis ini hakikatnya lahir dari jiwa seseorang yang kotor. Ia adalah
refleksi dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau
daripada jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.
Justeru,
dalam mindanya mustahil ada orang yang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali
mesti ada helah, agenda, dan muslihat di sebaliknya. Ia berfikiran demikian
kerana demikianlah dirinya.
Jenis 1:
Kerana Aliran Politik
Sangka
buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka
buruk ini sangat popular pada masa ini terutamanya di zaman isu politik
sentiasa hangat.
Memang
benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala
tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun
tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam
sesuatu tindakannya.
Jenis 2:
Kerana Aliran Pemikiran Ghuluw (melampau)
Manusia
tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal
ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan
dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.
Masing-masing kelihatan suka jika pihak
lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud dikalangan mereka yang akan
sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.
Tatkala
itu, sangka buruk sentiasa menjadi “idaman” dan ruh perjuangan masing-masing.
Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran
yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan dengan sejahatnya.
Jenis 3:
Pertikai Keikhlasan
Jenis yang
ketiga ini ialah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat tabiat itu sudah
mendarah daging hingga kehidupan seharian dipenuhi dengan sangka buruk.
Saya masih
ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu. Ketika itu,
Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini. Ada individu
menghantar link satu forum kepada saya. Forum itu membicarakan artikel saya
yang menyebut hukum skim haram. Tiba-tiba muncul
seorang forumer yang berkata:
“Puas aku fikir dan cari di web Zaharuddin ini,
apakah niatnya yang sebenar menulis isu ini dan menyusahkan kita?
Akhirnya
aku jumpa. Rupanya dia nak jual vcd dia!”
Demikian
dahsyatnya manusia pada zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan
kejahatan di sebalik segala jenis kebaikan. Baginya mustahil ada orang sanggup
bersusah payah tanpa ganjaran dunia.
Ini contoh
betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam
masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu?
Sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka
buruk kepadanya.
Jika mereka
memang mempunyai agenda tetapi agenda yang halal, maka tiada salahnya. Selagi
mana zahir tindakan mereka tadi adalah baik serta menghasilkan kesan yang baik
kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu
menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.
Allah mengingatkan:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu
tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang). Kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” (Surah al-Hujurat: 12)
Rumusan:
Jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa.
Banyakkan bersangka
baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat hanya kerana agenda
akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas
kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang
sepertinya.
Biodata
Penulis:
Dr. Hj.
Zaharuddin Hj. Abd Rahman
Sarjana
Muda (Usuluddin), UM. Sarjana (Fiqh dan Usul Fiqh), Universiti Yarmouk, Jordan.
PhD (Islamic Finance), University of Wales, United Kingdom. Berguru dengan
ramai ulama besar antaranya Sheikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah, Sheikh Muhammad ‘Uqlah
dan mendapat ijazah ilmiah daripada Dr. Yusuf al-Qaradawi. Kini Penolong
Professor di UIAM dan panel syariah JAKIM. Dekati beliau di www.zaharuddin.net.
-Artikel diambil daripada majalah al-Ustaz, Isu No. 12 dan diedit dalam kuantiti sedikit oleh blogger tanpa mengubah maksud asal teks.
Soalan:
Pada satu
hari, saya menolong seorang pak cik. Kemudian beliau mengucapkan “jazakallahu
khaira” kepada saya sebagai tanda terima kasih. Saya cukup tertarik dengan
kata-kata tersebut. Itulah pertama kali saya mendengarnya. Adakah kita
disunatkan mengucapkannya seperti mana sapaan assalamualaikum?
Jawapan:
RINGKASNYA:
Pak cik tersebut telah menunjukkan satu contoh akhlak mulia yang sangat baik
untuk dicontohi. Memang benar bahawa Nabi kita s.a.w. pernah mengucapkan lafaz
tersebut kepada sesiapa yang pernah melakukan kebaikan kepadanya. Ia satu
sunnah yang perlu kita budayakan.
HURAIAN:
Salah satu tanda seseorang itu memiliki akhlak yang mulia adalah dia akan
membalas setiap kebaikan yang dilakukan kepadanya. Allah berfirman dalam surah
al-Rahman ayat 60 yang bermaksud:
“Tidak ada
balasan atas kebaikan yang dilakukan kecuali kebaikan jua.”
Nabi
Muhammad s.a.w. mendidik umatnya agar membalas setiap kebaikan yang dilakukan
oleh seseorang kepada kita. Sabda Baginda yang bermaksud:
“Sesiapa
yang melakukan kebaikan kepada kamu, maka balaslah kebaikan yang telah
dilakukannya itu.
Jika kamu
tidak memiliki sesuatu untuk diberi sebagai balasan atas kebaikan yang
dilakukan itu, maka hendaklah kamu mendoakan kebaikan kepada saudaramu itu,
sehingga engkau merasa telah membalas kebaikannya.” (Riwayat Abu Daud)
Justeru,
jika kita tidak mampu untuk membalas kebaikan dengan memberi sesuatu hadiah
kepada rakan kita atau menghulurkan sebarang bantuan dalam melakukan sesuatu
kerja maka kita hendaklah membalasnya dengan mendoakan kebaikan kepada rakan
kita tersebut. Barangkali doa tersebut boleh menjadi sebab kebahagiaannya di
dunia dan di akhirat.
Ungkapan
Sunnah
Rasulullah
sendiri mengajar kita ungkapan doanya. Usamah bin
Zaid r.a. berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa
yang dilakukan kebaikan kepadanya, maka hendaklah dia berkata kepada orang yang
melakukan kebaikan kepadanya itu: ‘jazakallahu khaira’. Dengan demikian, dia
telah membalas kebaikan tersebut dengan sebaik-baik balasan.” (Riwayat
al-Tirmizi dan al-Nasa’i)
Dalam kita
Faid al-Qadir disebut bahawa ucapan “jazakallahu khaira” ini bermaksud “aku
memohon semoga Allah mengurniakan kebaikan yang banyak kepadamu sebagai balasan
atas kebaikan yang engkau lakukan.”
Bukan
setakat hanya berpesan, bahkan Baginda sendiri melazimkan diri mengucapkannya.
Dalam sebuah hadis yang panjang Baginda menyebut dengan maksudnya:
“Wahai kaum
Ansar, jazakumullahu khaira (semoga Allah mengurniakan pelbagai kebaikan kepada
kalian). Sesungguhnya kalian merupakan golongan yang sangat menjaga akhlak dan
jati diri serta memiliki sifat yang sabar.” (Riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim)
Budaya
Sahabat
Bahkan para
sahabat juga sentiasa mengucapkan doa ini sesama mereka. Dalam kitab Musannaf
Ibn Abi Syaibah ada disebutkan bahawa Sayidina Umar pernah berkata:
“Jika
kalian tahu apa yang terdapat dalam ucapan ‘jazakalllahu khairan’, nescaya
kalian semua akan memperbanyakkan sebutannya sesama kalian!”
Manakala
dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim pula ada dinyatakan bahawa seorang sahabat
Nabi yang bernama Usaid bin Hudair pernah berkata kepada Sayidatina Aisyah:
“Jazakallahu
Khaira. Demi Allah setiap kesusahan yang engkau lalui selalu membawa kebaikan
bagi dirimu dan seluruh kaum Muslimin.”
Syeikh
Soleh al-Uthaimin dalam mensyarahkan hadis yang berkaitan menyatakan bahawa
apabila Allah mengurniakan kebaikan sebagai ganjaran atas jasa baik yang
dilakukan oleh seseorang, maka kurniaan kebaikan itu merupakan kebahagiaan di
dunia dan akhirat kepada orang yang melakukan kebaikan tersebut.
Tahniah kepada
pak cik mengungkapkan ucapan yang pernah diucapkan oleh Nabi kita s.a.w. dan
berusaha mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w. Semoga saudara juga boleh
mengucapkan ucapan yang baik ini kepada sesiapa yang melakukan kebaikan kepada
saudara.
Panduan
Sebutlah
ucapan itu selengkapnya iaitu “jazakallahu khaira”. Elakkan hanya mengucapkan “jazakallah”
sahaja. Hal ini kerana Nabi sendiri menyebutnya dengan lengkap . Jika untuk
lelaki disebut “jazakallahu khaira”. Manakala untuk perempuan pula disebut “jazakillahu
khairan”. Lafaz “jazakumullahu khaira” disebut untuk kumpulan yang ramai.
Selamat beramal dengan sunnah Rasulullah yang tercinta.
Mengenai penulis:
Salehuddin
Abu Samah
Sarjana
Muda Syariah, Universiti Islam Madinah. Kini bertugas sebagai Timbalan
Pengurus, Jabatan Syariah Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah berguru dengan
ramai ulama antaranya Syeikh Abu Bakar al-Jazairi (Ulama besar di Masjid
Nabawi).
Artikel ini
diambil daripada majalah al-Ustaz, isu no. 5, “Solat Jamak Qasar Sedekah
Daripada Allah”