Suatu masa dahulu orang Arab terkenal dengan kejaguhannya dalam pelbagai
bidang ilmu. Kegiatan penterjemahan begitu giat dijalankan menyebabkan
penguasaan mereka di dalam ilmu jadi berkembang dan meluas. Orang-orang Arab
telah mempelajari bahasa Latin dan Spain dan mereka telah menyalin kedua-duanya
(dengan jalan penterjemahan) sehingga bila mereka rasa cukup mahir dengan apa
yang mereka salinkan itu lahirlah keperibadian ilmiahnya yang mana kian hari
kian subur dan tak lama kemudian jadilah ia sebagaimana yang telah disifatkan
oleh Gustav Lobon:
"Mereka telah mencapai suatu kesimpulan bahawa eksperimen dan
pemerhatian adalah lebih baik dari apa yang diperolehi dari buku-buku langsung
mereka melepaskan diri dari menjadi murid kepada orang-orang Greek dan telah melakukan
sendiri eksperimen-eksperimen dalam bidang-bidang ilmiah."
Lalu orang Arab lebih menguasai bidang keilmuan itu sendiri berbanding
orang Greek dan itulah yang menjadi cahaya pada zaman kegemilangan Islam suatu
ketika dulu.
Namun, sisi-sisi kegelapan mula muncul setelah berlakunya kehilangan
satu persatu prinsip yang dibawa oleh setiap era pemerintahan Islam itu
sendiri. Kemudian, berlakulah penyisihan manusia dari agama dan juga penyisihan
manusia dengan kajian amaliah dan ilmiah.
Agama diterima sebagai lafaz-lafaz atau ucapan-ucapan pusaka dan tradisi
yang beku. Sesetengah puak pula melahirkan sikap yang terlalu taksub dengan
pegangan beku itu menyebabkan pada sesetengah keadaan, berlakunya perbalahan
sehingga mereka bunuh-membunuh sesama sendiri. Akhirnya, Islam itu sendiri
dipandang sebagai suatu bentuk agama yang kompleks juga dengan pandangan tamak
haloba pada sisi kerajaan Islam.
Keruntuhan empayar Islam menyaksikan kuasa-kuasa lain selain Islam itu
sendiri bangkit dan mengambil cebisan warisan ilmu yang ditinggalkan oleh
kerajaan Islam untuk ditaruhkan ke dalam sistem yang mereka terajui. Bangkitlah
mereka sebagai kerajaan-kerajaan agung bermula dengan menggunakan
cebisan-cebisan ilmu tersebut seraya berlakulah pula penjajahan-penjajahan
mereka ke atas negara-negara Islam sendiri.
Meninjau kembali kepada sejarah mungkin boleh membuat kita tersedar
semula atau mungkin juga boleh menyuntikkan sedikit sebanyak semangat terhadap
mencetuskan kegemilangan yang pernah dicipta oleh ilmuan Islam dahulu.
Peranan Kita
Maka kita sekarang ini sebagai apa? Apakah kita ini sebagai generasi
yang membiarkan sahaja sejarah kegemilangan itu berlalu dan terus hanyut pada
masa ini dengan sistem kapitalisme?
Keegoan dan ketaksuban telah menjatuhkan kita. Maka apakah pada saat ini
sifat-sifat itu masih bersarang di dalam diri kita? Hanya mereka yang tersedar
akan mampu menjawab pertanyaan ini.
Kita perlu membuka pandangan. Melihat pada seluas-luas dimensi. Sebab
itu pemerhatian dan pengkajian amat diperlukan jika kita ingin duduk dan
merasai kembali nikmat kegemilangan Islam suatu ketika dahulu.
Pemikiran-pemikiran jumud dan beku haruslah dilenyapkan dari realiti.
Kita ingin masyarakat Islam melatih sendiri cara berfikir mengikut cara masing-masing
tanpa terikat dan tersekat terhadap ilmu-ilmu khusus dan tidak fleksibel.
Ilmu tidak akan berkembang sekiranya sikap egois itu masih ada. Egois
itu sendiri membunuh keinginan unuk bergerak lebih jauh dan terkehadapan dalam
mencetuskan idea-idea baharu. Urusan agama akan menjadi mudah kiranya agamawan
itu sendiri tidak memaksa orang untuk mengambil pendapatnya dan menolak
pendapat-pendapat lain.
Kepelbagaian pendapat akan membina suatu semangat baru pada masyarakat
untuk menggali ilmu sedalam-dalamnya sehingga bertemu pada nikmat kebebasan
yang terdapat pada Islam itu sendiri. Maka dengan itu, tidaklah yang tertindas
akan selama-lamanya tertindas.
Orang agamawan sekarang ini dipandang tinggi oleh orang bawahan. Segala
pendapat yang dikeluarkan dianggap betul dan tiada salahnya tanpa orang-orang
bawahan sendiri sedar yang berbicara itu bukanlah manusia-manusia yang maksum.
Oleh itu, ada hikmahnya agama datang pada zaman ini dengan membawa
mazhab yang empat. Orang yang salah mengambil hikmahnya cuma akan terus
bersikap taksub dengan mazhabnya manakala orang yang menemui hikmahnya akan meraikan
perbezaan yang terdapat pada keempat-empat mazhab ini.
Memecahkan jurang ilmu akan membangkitkan semangat pengkajian dan
penelitian ilmu. Bayangkan sekiranya kuliah-kuliah agama tidak hanya disertai
oleh masyarakat awam tetapi disertai juga oleh agamawan-agamawan lain.
Sekiranya ulama-ulama tidak cuma memasukkan penghujahan unsur-unsur agama dalam
pengucapan mereka tetapi membawa juga penghujahan yang terbit daripada
ideologi-ideologi lain tidak kira datangnya dari mana-mana tempat atau
siapa-siapa individu sekalipun, pasti masyarakat awam dapat melihat Islam pada
kerangka yang luas dan menyeluruh.
Bayangkan juga kiranya masyarakat ini menjadikan ilmu itu sebagai
keperluan penting dalam hidup. Budaya membaca ada di mana-mana seperti yang
berlaku di negara-negara maju. Wacana-wacana ilmiah dijalankan di merata-rata
tempat tidak hanya di tempat-tempat tertentu yang bersifat eksklusif.
Orang-orang miskin dan kaya mendapat sumber ilmu tidak putus-putus. Ilmu juga
tidak dijual beli dengan harga yang mahal.
Budaya ilmu bukan sahaja patut diterapkan pada masyarakat awam tetapi
pada agamawan itu sendiri agar golongan agamawan tidak selalu berpuas hati
dengan apa yang telah mereka pelajari pada masa lalu. Perubahan demi perubahan
perlu dilakukan demikian juga sikap-sikap egois dan taksub perlu dibuang demi
mencapai kesatuan masyarakat Islam yang pernah memberi keuntungan pada kerajaan
Islam suatu masa dahulu.