Duhai mata yang sedang menangis,
Mungkin
tika ini kau sedang bahagia, mungkin juga kau sedang berduka. Apapun
situasimu, air yang menggenangi kelopakmu dan mengalir di pipimu adalah
anugerah Allah s.w.t. yang tak terhingga. Ia mampu membuang racun di
mata dan di tubuhmu kemudiaan disusuli ketenangan jiwa. Bersyukurlah
pada-Nya kerana hingga saat ini matamu masih mampu menangis.
Aduh!
Sungguh
hairan kumelihat orang yang merasakan tangisan itu satu kelemahan.
Malah meanggapnya satu lambang ketidakmatangan. Sedangkan Allah s.w.t.
merakam mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya,
“Dan mereka menyungkur (sujud) di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Al-Isra’: 109)
“Apabila
dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka
menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (Maryam: 58)
Duhai mata yang sedang menangis,
Tahukah
dikau, jika dikaji dari perspektif sains, tangisanmu mampu menjadi
terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya. Tatkala
dirimu dalam ketakutan, unsur-unsur berbahaya dijana oleh tubuhmu. Air
mata secara semulajadi boleh membuangnya. Otakmu pula berkerja
mengeluarkan unsur-unsur kimia daripada air mata. Bukan itu saja,
tangisan menambah jumlah degupan jantung sebagai latihan berguna buat
sekatan rongga badan, kedua-dua bahu dan urat-urat dada. Setelah
tangisanmu reda, kembalilah degupan jantung ke asalnya dan ketenangan
mula menguasai jiwa. Subhanallah, hebat sungguh penciptaan air mata!
Duhai mata yang sedang menangis,
Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan. Samada
kau lelaki atau wanita, kau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea
dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia
mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.
Duhai mata yang sedang menangis,
Jika
kau lelaki, kenapa perlu malu pada tangisan? Mungkin sosiobudaya
mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan dalam mengendalikan
kemampuan. Kau mungkin dipisahkan antara diri dengan perasaanmu sendiri
oleh didikan silam. Apapun, tak siapa dapat
menafikan kau juga insan yang punyai hati dan perasaan. Isi hatimu
kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan tekanan
dan risiko penyakit. Usah menipu diri berlagak kuat dengan menafikan air
mata kerana kelak badanmu mendapat darurat.
Jika
kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki. Tahukah
dikau, penyayang-Nya Allah s.w.t padamu hingga Dia menciptakan
kalenjar-kalenjar air matamu lebih besar daripada kalenjar-kalenjar air
mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan kau menangis
empat kali lebih banyak daripada lelaki. Ianya antara penyebab
panjangnya usiamu berbanding lelaki. Masakan tidak, air matamu keluar
bersama keluarnya peratusan racun dari tubuh. Doktor pakar mata berkata,
air mata penting untuk menyucikan mata daripada racun yang keluar
akibat ketegangan urat saraf perasaan dan emosi yang tidak stabil.
Duhai mata yang sedang menangis,
Sungguh
bertuah kau masih mampu menangis. Usah ditahan tangisan itu. Luahkannya
dengan rasa takut dan harap pada Tuhanmu. Benar, tangisanmu itu tak
mampu mengembalikan masa lalumu. Jangan biarkan tangisan itu membibitkan
kabus pada masa depanmu. Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangmu untuk melonjakan
amal dan perubahan untuk hari esok. Tangisan kerana Allah s.w.t. ketika
gembira atau derita adalah ubat mujarab untuk mencari ketenangan hidup.
Dengarilah pesanan Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan kalam Yang Esa,
Adakalanya masa kita banyak dihabiskan untuk
perkara-perkara yang tidak diperlukan; dan juga oleh orang yang tidak
sepatutnya “mendapat” masa kita.
Seringkali perkara ini berlaku dalam keadaan
yang tidak disedari, dan apabila sedar, hari sudah pun petang, waktu pejabat
sudah hampir tamat. Akibatnya, banyak kerja yang tidak selesai, dan banyak
urusan yang tertangguh.
Bagaimana untuk mengelakkan diri daripada “kehilangan”
masa? Berikut adalah beberapa panduan yang mungkin berguna untuk tindakan anda:
Jangan
Mendukung Biawak Hidup
“Biawak-biawak” dalam karier
anda ialah golongan yang pemalas. Dia hanya tahu menyuruh orang lain dengan
pelbagai alasan. Jangan sesekali “mendukung” mereka ini, kerana dia hanya akan
menyusahkan anda. Namun, tidak bermakna orang lain boleh mengagihkan kerja
kepada anda. Jika seseorang itu memang mempunyai autoriti untuk mengarahkan
anda, maka dia bukanlah satu masalah.
Pagari
masa anda, jangan biarkan “dicuri”
Masa anda boleh dicuri oleh mereka yang tidak mempunyai disiplin
masa. Salah satu cara untuk “memagari” masa anda adalah dengan menetapkan masa
yang tepat dan tidak biasa didengari. Contohnya, menetapkan mesyuarat pada
pukul 10.32 pagi, atau janji temu pada 3.13 petang. Satu lagi cara untuk “mengetatkan
sekuriti” adalah dengan menyatakan kepada mereka tabiat menepati masa anda dan
jadual masa anda yang ketat.
Bunyikan
Siren Kecemasan
Jika “sistem keselamatan” anda
telah dicerobohi, bunyikanlah “siren kecemasan”. Anda mungkin akan berhadapan
dengan orang yang asyik “mencuri” masa anda. Dalam situasi seperti ini,
bertindaklah segera dengan “membunyikan siren kecemasan”. Antaranya, jika anda
sudah menunggu lima minit dan dia masih belum tiba, anda boleh membuat
panggilan terlepas (missed call) kepada mereka sebagai tanda anda sudah tiba.
Atau anda boleh sahaja menelefon mereka dan memberitahu bahawa anda terpaksa
menghadiri satu lagi janji temu tidak lama lagi.
Katakan “Tidak!”
Tindakan ini adalah satu
kemahiran yang mesti dipelajari dan dipertajamkan selalu. Ia sangat penting
untuk mengelakkan diri anda daripada membuat sesuatu yang tidak sepatutnya anda
buat. Anda mesti cepat membuat keputusan, dan mempunyai pendirian yang tegas.
Dalam masa yang sama, tahu bagaimana untuk menyatakan tidak supaya yang dikejar
tetap dapat, yang dikendong tidak berciciran.
Takutkan
Orang Lain
Pada pintu bilik sisipkan
penanda pada tombol yang berbunyi: “Jangan ganggu” atau “Do not disturb”. Atau
mungkin anda pernah melihat papan tanda di pintu pejabat seperti “Jurujual
tidak dibenarkan masuk” atau “Hanya untuk kakitangan sahaja”. Atau mungkin ada
rakan-rakan anda di asrama yang meletakkan tanda di pintu “Sedang belajar”, “Jangan
ganggu selepas 10 pm”, “Jika ada apa-apa masalah, sila telefon saja”. Dan
banyak lagi contoh kata-kata yang lain.
Pastikan
Mesyuarat itu Benar-benar Perlu
Kadangkala ada mesyuarat yang
anda tidak perlu hadir. Jika diminta ke mesyuarat, dapatkan agenda dan latar
belakang mesyuarat. Pastikan bahawa ia benar-benar “milik” anda. Jika anda
tidak sepatutnya hadir, siapa pula orangnya yang akan hadir? Berbincanglah
dengan majikan dan rakan-rakan anda.
Pendekkan
Mesyuarat
Jika ada perkara di luar agenda,
tetapkan perbincangan di luar mesyuarat untuk mendapatkan keputusan. Rekodkan
keputusan dan pembentangan agar tidak berlaku pengulangan. Semua ahli perlu
jujur agar persetujuan dapat dicapai dengan lebih pantas.
Berdiri
Apabila Ada Kaki Borak Datang
Mudah sahaja. Anda sedang duduk
tekun di meja anda, tiba-tiba ada seorang rakan yang memang terkenal sebagai
kaki borak. Jangan membuang masa lagi. Anda perlu bangun dan menyapanya dengan
mesra. Tanyalah jika ada perkara mustahak. Jika tiada, ucap terima kasih dan
terus berjalan ke tempat lain. Anda boleh ke mana-mana yang anda rasa sesuai
sebelum kembali ke tempat asal. Yang penting, jangan biarkan dia “melekat” di
tempat anda.
Berfikir
Seperti Ahli Politik
Ahli politik menyusun prioriti dengan
berhati-hati, agar mereka tidak membazirkan masa
mereka kepada perkara yang
tidak memberikan kredit kepada mereka. Jika seorang ahli politik menerima
sepuluh panggilan telefon dalam satu masa, mereka tidak akan bertanya “ Yang
mana dulu?” tetapi mereka akan bertanya “Yang mana paling berkuasa?” atau “Yang
mana paling membantu?” atau “Yang mana yang paling berbahaya?”
Jika
Tidak Dapat Berjumpa, Hubungi Dia
Seringkali masa dibazirkan untuk
berjumpa seseorang. Lebih malang kalau dia sering tiada di pejabat dan ada
mesyuarat memanjang. Jika dalam situasi ini, anda perlu dapatkan maklumat
berikut: Adakah dia mempunyai telefon bimbit? Bolehkah anda carikan dia untuk
saya? Adakah saya boleh mencelah mesyuarat itu? Adakah dia membaca e-mel dan
SMS? “Beritahu dia saya datang dan akan hubungi dia selepas ini. Ia sangat penting.”
Tetapkan
Sasaran Apabila Menggunakan Internet
Alam maya mempunyai pelbagai
aktiviti yang mengasyikkan. Ada bermacam laman web, blog, media alternatif,
jaringan sosial, dan bermacam lagi ruang yang boleh “mencuri” masa anda. Oleh
yang demikian, sangat penting bagi anda menetapkan disiplin Internet bagi
mengelakkan masa anda “terbabas dan dicuri” begitu sahaja.
Sentiasa
Ingati Allah
Dalam surah al-Asr ada
mengatakan bahawa orang yang beriman dan berbuat kebaikan adalah golongan yang
tidak membazirkan masa mereka. Tetapkan hati kepada Allah, dan milikilah
karakter orang yang beriman. Nanti tubuh kita akan sentiasa memastikan bahawa
kita menggunakan masa dengan sebaiknya.
Mengenai Penulis
Professional Trainer di RK Training & Management. Lulusan ijazah sarjana muda dan sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan PhD di Universiti Malaya. Merupakan Certified NLP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming, California, U.S. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di TV. Laman web: www.fadzliyusof.com
Artikel ini diambil daripada Majalah Solusi, Isu No. 26, m/s: 73 dan 74.
Soalan:
Saya
mempunyai satu sifat buruk, iaitu sukar bersangka baik kepada orang lain.
Setiap kali seseorang berlaku sopan kepada saya, saya selalu menyangka pasti ada
apa-apanya. Berdosakah memiliki perasaan seperti ini?
Jawapan:
Hidup kita
tidak lekang daripada disangka buruk dan menyangka buruk. Oleh itu kunci
menanganinya adalah beristighfar dan taubat.
Sangka
buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia
sangat sukar dibuang, namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang
perlu kita hindari sedaya upaya.
Dalam
sebuah hadis dinyatakan:
“Tiga
perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri daripadanya; sial
menyial, sangka buruk dan hasad dengki. Maka apabila kamu berasa ada sial,
jangan kamu mengendahkannya. Bila kamu hasad, jangan melampau (hingga
bertindak). Dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya.” (Musannaf Abd
Razzak dengan sanad mursal)
Dr. Yusuf
al-Qaradawi menerangkan maksud “jangan membenarkan sangkaan buruk” iaitu jangan
mengubah sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika
itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya.
Sangkaan
Buruk yang Dibolehkan
Soalan:
Saya
terfikir, kalau kita selalu bersangka baik, suatu hari nanti kita akan menjadi
mangsa tipu daya dan kejahatan orang lain. Ada tak sangka buruk yang dibolehkan
dalam Islam?
Jawapan:
Tidak
dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan
diri. Ia dinamakan sebagai berhati-hati atau ‘hazar’.
Contoh yang
mudah, seorang pemandu kereta dikehendaki “bersangka buruk” apabila melihat
sebuah bas dan teksi di depan mereka. Ia mesti bersiap kemungkinan kenderaan
itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil atau menurunkan penumpang. Ini
jelas sangka buruk yang tidak berdosa.
Demikian
juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak
majikan akan membuat tinjauan rambang dan menghubungi beberapa orang bagi
mendapatkan informasi berguna berkaitan calon.
Saya masih
ingat, saya pernah menerima resume sewaktu bertugas di institusi kewangan
dahulu. Resume calon ini cukup menarik.
Namun
mengikut prosedur, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si
calon sebelum memanggilnya interview.
Akhirnya,
kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai
masalah mental. Kami dapatkan komen beberapa orang lagi demi memastikan
maklumat yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun, maklumat yang sama
diperolehi.
Sangka
Buruk Yang Haram
Soalan:
Menurut
Ustaz, apakah sebenarnya punca dan sebab lahirnya perasaan sangka buruk
terhadap orang lain?
Jawapan:
Sangka
buruk jenis haram dan berdosa biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad
dengki dan berniat menjatuhkan.
Sangka
buruk jenis ini hakikatnya lahir dari jiwa seseorang yang kotor. Ia adalah
refleksi dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau
daripada jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.
Justeru,
dalam mindanya mustahil ada orang yang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali
mesti ada helah, agenda, dan muslihat di sebaliknya. Ia berfikiran demikian
kerana demikianlah dirinya.
Jenis 1:
Kerana Aliran Politik
Sangka
buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka
buruk ini sangat popular pada masa ini terutamanya di zaman isu politik
sentiasa hangat.
Memang
benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala
tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun
tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam
sesuatu tindakannya.
Jenis 2:
Kerana Aliran Pemikiran Ghuluw (melampau)
Manusia
tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal
ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan
dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.
Masing-masing kelihatan suka jika pihak
lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud dikalangan mereka yang akan
sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.
Tatkala
itu, sangka buruk sentiasa menjadi “idaman” dan ruh perjuangan masing-masing.
Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran
yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan dengan sejahatnya.
Jenis 3:
Pertikai Keikhlasan
Jenis yang
ketiga ini ialah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat tabiat itu sudah
mendarah daging hingga kehidupan seharian dipenuhi dengan sangka buruk.
Saya masih
ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu. Ketika itu,
Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini. Ada individu
menghantar link satu forum kepada saya. Forum itu membicarakan artikel saya
yang menyebut hukum skim haram. Tiba-tiba muncul
seorang forumer yang berkata:
“Puas aku fikir dan cari di web Zaharuddin ini,
apakah niatnya yang sebenar menulis isu ini dan menyusahkan kita?
Akhirnya
aku jumpa. Rupanya dia nak jual vcd dia!”
Demikian
dahsyatnya manusia pada zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan
kejahatan di sebalik segala jenis kebaikan. Baginya mustahil ada orang sanggup
bersusah payah tanpa ganjaran dunia.
Ini contoh
betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam
masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu?
Sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka
buruk kepadanya.
Jika mereka
memang mempunyai agenda tetapi agenda yang halal, maka tiada salahnya. Selagi
mana zahir tindakan mereka tadi adalah baik serta menghasilkan kesan yang baik
kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu
menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.
Allah mengingatkan:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu
tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang). Kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” (Surah al-Hujurat: 12)
Rumusan:
Jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa.
Banyakkan bersangka
baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat hanya kerana agenda
akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas
kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang
sepertinya.
Biodata
Penulis:

Dr. Hj.
Zaharuddin Hj. Abd Rahman
Sarjana
Muda (Usuluddin), UM. Sarjana (Fiqh dan Usul Fiqh), Universiti Yarmouk, Jordan.
PhD (Islamic Finance), University of Wales, United Kingdom. Berguru dengan
ramai ulama besar antaranya Sheikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah, Sheikh Muhammad ‘Uqlah
dan mendapat ijazah ilmiah daripada Dr. Yusuf al-Qaradawi. Kini Penolong
Professor di UIAM dan panel syariah JAKIM. Dekati beliau di www.zaharuddin.net.
-Artikel diambil daripada majalah al-Ustaz, Isu No. 12 dan diedit dalam kuantiti sedikit oleh blogger tanpa mengubah maksud asal teks.