Penyelesaian Bagi Semua Masalah
Allah SWT kala menurunkan ayat Al-Quran yang pertama, Allah SWT tidak menurunkan:
“Berimanlah kamu!”
Tetapi ayat pertama yang diturunkan adalah: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!” Surah Al-’Alaq, ayat 1.
Ini membuktikan betapa Allah SWT, walaupun Dia adalah Tuhan, dan
Islam yang diturunkanNya adalah kebenaran yang mutlak, Dia tidak
‘memaksakan’ keimanan di dalam jiwa hamba-hambaNya. Tetapi Dia
melorongkan hamba-hambaNya untuk mencari, memahami, mendalami, agar
dapat melihat makna iman yang sebenar.
Bukti Allah SWT Menganjurkan Penggalian Ilmu dan Pencarian Kefahaman
Kerana itu, Allah SWT memberikan pilihan di dalam kehidupan insan. Bukan paksaan.
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 256.
Allah SWT juga membuka ruang usaha kepada manusia.
“Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah dahulu apa yang ada pada diri mereka.” Surah Ar-Ra’d ayat 11.
Dan Allah SWT melayan persoalan-persoalan manusia dalam bentuk penceritaan sebagaimana Dia melayan pertanyaan Malaikat dan Nabi-nabiNya. Ini boleh dilihat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 30, Surah Al-Baqarah ayat 259 dan 260. Ada lagi beberapa contoh di dalam Al-Quran yang boleh dipetik, memperlihatkan betapa Allah SWT tidak memberikan paksaan. Tetapi Dia membukakan ruang pencarian kefahaman terlebih dahulu, agar ketaatan yang asli muncul dari benak manusia itu sendiri.
Kita boleh melihat betapa Al-Quran wujud di dalamnya juga ajakan-ajakan agar manusia belajar dari yang lebih tahu, agar manusia melihat angkasa lepas, melihat gunung ganang, melihat haiwan seperti semut dan lebah, serta mengajak juga manusia mengembara melihat alam ini serta manusia-manusia yang dibinasakan sebelum ini.
Semua itu, agar akal manusia berfikir, dan mendapatkan kebenaran.
Al-Quran benar-benar adalah ‘huda’, yakni petunjuk, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam ayat ke-2 Surah Al-Baqarah: “Itulah dia Al-Kitab, tiada keraguan di dalamnya, petunjuk buat mereka yang bertaqwa.”
Jawapan Sebenar Kepada Semua Permasalahan.
Maka jawapan sebenar kepada semua permasalahan hakikatnya adalah ilmu.
Mahu atau tidak mahu, seseorang manusia yang inginkan peribadi yang mapan, minda yang mampu merungkai masalah serta semangat yang mampu melangkaui halangan, maka dia perlukan ilmu.
Kata-kata yang amat masyhur, walaupun saya terlupa dari mana datangnya ia, namun padanya wujud kebenaran yang nyata, kata-kata itu saya pegang selama ini.
“Hendak dapatkan akhirat, perlulah dengan ilmu. Hendak dapatkan dunia, perlulah dengan ilmu. Hendak mendapatkan kedua-duanya, juga perlu dengan ilmu.”
Kerana ilmu adalah petunjuk.
Tiada ilmu penulisan, kita tidak akan mampu menulis dengan baik. Tidak tahu apa itu kereta, kemungkinan kita akan anggap motor itu kereta. Tidak tahu hendak berbisnes, bagaimana mahu kita menghadapi sepak terajang dunia perniagaan? Dan begitulah juga apabila kita hendak menjadi orang yang soleh. Jika kita tidak tahu apa itu soleh, dan bagaimana hendak menjadi orang yang soleh, maka adalah mustahil perjalanan kita hendak menjadi orang yang soleh akan menjadi mudah.
Justeru ilmu diperlukan.
Persoalannya, dalam kehidupan kita ini, sejauh manakah kita menyediakan diri kita masa untuk mencari ilmu ini?
Jika duit adalah makanan untuk fizikal kita, jelas bahawa ilmu adalah makanan untuk minda dan jiwa. Maka, apakah kita menyediakan masa untuk penambahan dan rujukan ilmu?
Musuh Kepada Kebenaran
Apabila manusia tidak membuka dirinya untuk menerima dan mencari ilmu sebanyak yang boleh selagi dia masih hidup, maka dirinya akan terjerumus ke dalam lembah yang merosakkan.
Kita melihat betapa ramai manusia hari ini bergantung dengan beberapa figure tertentu, hingga akhirnya melahirkan ketaksuban.
Contoh:
“Kenapa enta cakap begini? Ustaz C dah cakap macam ini.”
“Ana buat rujukan sekian-sekian, akhi.”
“Eh, dah Ustaz C cakap macam ini, macam inilah. Lagi nak melawan.”
Situasi begini akan hadir.
Itu belum dikira dengan segala permasalahan yang kecil-kecil pun, kita akhirnya bergantung kepada individu-individu sebegini. Sepatutnya, para ustaz, para motivator, hanyalah pemudah cara, fasilitator dalam kehidupan ini. Mereka melorongkan audiens mereka kepada sumber kebenaran, dan menyemarakkan lagi semangat untuk mencari serta menambah ilmu. Tetapi kadangkala, dek silap orientasi mungkin, ia melahirkan ketaksuban, kejumudan, dan pergantungan yang agak melampau.
Akhirnya masyarakat mula malas membaca, mencari ilmu, dalam skop yang lebih luas. Mereka lebih selesa, jika tidak tahu, bertanya terus kepada figure-figure ini tadi.
Suasana inilah yang seterusnya menimbulkan tekanan dalam diri para penyoal, apabila figure-figure ini mungkin sibuk dan tidak mampu melayan soalan-soalan yang banyak daripada mereka.
Kerana itu, kita melihat dalam sejarah silam, Imam Malik pernah didatangi oleh seorang lelaki yang membawa puluhan soalan. Majoriti soalan itu, dijawab dengan satu jawapan: “Aku tidak tahu.”
Ada yang membahaskan, Imam Malik Rahimahullah itu dengan ilmunya yang sangat tinggi, masakan majoriti persoalan dijawabnya dengan ‘tidak tahu’? Maka antara jawapan kepada perbahasan itu adalah, Imam Malik hakikatnya mengetahui majoriti jawapan itu, tinggalnya, soalan-soalan sedemikian jawapannya sangatlah jelas jika kita mengerah diri kita untuk membaca. Bukannya soalan-soalan yang memerlukan campur tangan seorang ulama’ besar.
Kerana itu, kerajinan kita membaca, ketekunan kita mengkaji, dan ketelitian kita dalam memerhati, adalah apa yang akan membantu untuk membina diri kita, seterusnya melangkah lebih hampir kepada kebenaran yang sebenarnya.
Akhir sekali, kita perlu lihat, para motivator, para ustaz dan ustazah itu, mereka juga adalah pencari-pencari ilmu. Tinggal mereka mencari ilmu lebih daripada kita. Maka mengapa, selain kita sekadar termotivasi dengan kata-kata mereka, tidak kita termotivasi untuk menjadi manusia berilmu seperti mereka juga?
Justeru, musuh kepada ilmu ada tiga.
1. Taqlid (buta)
2. Taksub (individu, kumpulan dan ideologi)
3. Ghuluw (ekstrem)
Kita perlu untuk tidak bergantung kepada satu-satu sumber sahaja. Satu-satu sheikh sahaja. Satu-satu motivator sahaja. Satu-satu kumpulan sahaja. Kita perlu luaskan pembukaan pencarian ilmu kita. Memberanikan diri membuat perbandingan, dan melakukan penilaian. Dari situlah kita akan mendapat kekuatan untuk menyelesaikan segala permasalahan.
Penutup: Ya, Tidak Mampu Membaca Semuanya.
Ilmu Allah ini luas.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” Surah Al-Kahfi ayat 109.
Memang sebagai manusia yang do’if, tidak mampu untuk kita mendapatkan semuanya.
Tetapi dengan kita memberikan masa buat diri ini menimba ilmu, meluaskan sisi pandang, dan menjadi pemerhati yang adil, kita akan perlahan-lahan mampu menggerakkan diri ke arah yang lebih baik lagi dari keadaan kita kini. Sempurna memang takkan dapat kita gapai, tetapi menjadi lebih baik, lebih berprinsip, lebih tenang, lebih lapang, lebih berpandangan jauh, lebih bersemangat, lebih matang, lebih mantap, bukan sesuatu yang mustahil.
Dengan ilmu, kita boleh mengayuh lebih jauh.
Persoalannya, siapakah yang mahu mengeraskan dirinya, berkorban masa dan hartanya, untuk mencari ilmu, di celah-celah kesempitan tuntutan hidupnya?
Sama-sama kita muhasabah.
Ditulis oleh: Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak (Hilal Asyraf)- Seorang penulis novel dan buku motivasi serta aktif dalam menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.
Sumber: http://langitilahi.com/11998