Jumlah Paparan Halaman

Elak daripada "Kehilangan" Masa

Adakalanya masa kita banyak dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak diperlukan; dan juga oleh orang yang tidak sepatutnya  “mendapat” masa kita.


Seringkali perkara ini berlaku dalam keadaan yang tidak disedari, dan apabila sedar, hari sudah pun petang, waktu pejabat sudah hampir tamat. Akibatnya, banyak kerja yang tidak selesai, dan banyak urusan yang tertangguh. 




Bagaimana untuk mengelakkan diri daripada “kehilangan” masa? Berikut adalah beberapa panduan yang mungkin berguna untuk tindakan anda:

  Jangan Mendukung Biawak Hidup

              “Biawak-biawak” dalam karier anda ialah golongan yang pemalas. Dia hanya tahu menyuruh orang lain dengan pelbagai alasan. Jangan sesekali “mendukung” mereka ini, kerana dia hanya akan menyusahkan anda. Namun, tidak bermakna orang lain boleh mengagihkan kerja kepada anda. Jika seseorang itu memang mempunyai autoriti untuk mengarahkan anda, maka dia bukanlah satu masalah.

Pagari masa anda, jangan biarkan “dicuri”

               Masa anda boleh dicuri  oleh mereka yang tidak mempunyai disiplin masa. Salah satu cara untuk “memagari” masa anda adalah dengan menetapkan masa yang tepat dan tidak biasa didengari. Contohnya, menetapkan mesyuarat pada pukul 10.32 pagi, atau janji temu pada 3.13 petang. Satu lagi cara untuk “mengetatkan sekuriti” adalah dengan menyatakan kepada mereka tabiat menepati masa anda dan jadual masa anda yang ketat.

Bunyikan Siren Kecemasan

               Jika “sistem keselamatan” anda telah dicerobohi, bunyikanlah “siren kecemasan”. Anda mungkin akan berhadapan dengan orang yang asyik “mencuri” masa anda. Dalam situasi seperti ini, bertindaklah segera dengan “membunyikan siren kecemasan”. Antaranya, jika anda sudah menunggu lima minit dan dia masih belum tiba, anda boleh membuat panggilan terlepas (missed call) kepada mereka sebagai tanda anda sudah tiba. Atau anda boleh sahaja menelefon mereka dan memberitahu bahawa anda terpaksa menghadiri satu lagi janji temu tidak lama lagi.

Katakan “Tidak!”

               Tindakan ini adalah satu kemahiran yang mesti dipelajari dan dipertajamkan selalu. Ia sangat penting untuk mengelakkan diri anda daripada membuat sesuatu yang tidak sepatutnya anda buat. Anda mesti cepat membuat keputusan, dan mempunyai pendirian yang tegas. Dalam masa yang sama, tahu bagaimana untuk menyatakan tidak supaya yang dikejar tetap dapat, yang dikendong tidak berciciran.

Takutkan Orang Lain

               Pada pintu bilik sisipkan penanda pada tombol yang berbunyi: “Jangan ganggu” atau “Do not disturb”. Atau mungkin anda pernah melihat papan tanda di pintu pejabat seperti “Jurujual tidak dibenarkan masuk” atau “Hanya untuk kakitangan sahaja”. Atau mungkin ada rakan-rakan anda di asrama yang meletakkan tanda di pintu “Sedang belajar”, “Jangan ganggu selepas 10 pm”, “Jika ada apa-apa masalah, sila telefon saja”. Dan banyak lagi contoh kata-kata yang lain.

Pastikan Mesyuarat itu Benar-benar Perlu

               Kadangkala ada mesyuarat yang anda tidak perlu hadir. Jika diminta ke mesyuarat, dapatkan agenda dan latar belakang mesyuarat. Pastikan bahawa ia benar-benar “milik” anda. Jika anda tidak sepatutnya hadir, siapa pula orangnya yang akan hadir? Berbincanglah dengan majikan dan rakan-rakan anda.

Pendekkan Mesyuarat

               Jika ada perkara di luar agenda, tetapkan perbincangan di luar mesyuarat untuk mendapatkan keputusan. Rekodkan keputusan dan pembentangan agar tidak berlaku pengulangan. Semua ahli perlu jujur agar persetujuan dapat dicapai dengan lebih pantas.

Berdiri Apabila Ada Kaki Borak Datang

               Mudah sahaja. Anda sedang duduk tekun di meja anda, tiba-tiba ada seorang rakan yang memang terkenal sebagai kaki borak. Jangan membuang masa lagi. Anda perlu bangun dan menyapanya dengan mesra. Tanyalah jika ada perkara mustahak. Jika tiada, ucap terima kasih dan terus berjalan ke tempat lain. Anda boleh ke mana-mana yang anda rasa sesuai sebelum kembali ke tempat asal. Yang penting, jangan biarkan dia “melekat” di tempat anda.

Berfikir Seperti Ahli Politik

               Ahli politik menyusun prioriti dengan berhati-hati, agar mereka tidak membazirkan masa 
mereka kepada perkara yang tidak memberikan kredit kepada mereka. Jika seorang ahli politik menerima sepuluh panggilan telefon dalam satu masa, mereka tidak akan bertanya “ Yang mana dulu?” tetapi mereka akan bertanya “Yang mana paling berkuasa?” atau “Yang mana paling membantu?” atau “Yang mana yang paling berbahaya?”

Jika Tidak Dapat Berjumpa, Hubungi Dia

               Seringkali masa dibazirkan untuk berjumpa seseorang. Lebih malang kalau dia sering tiada di pejabat dan ada mesyuarat memanjang. Jika dalam situasi ini, anda perlu dapatkan maklumat berikut: Adakah dia mempunyai telefon bimbit? Bolehkah anda carikan dia untuk saya? Adakah saya boleh mencelah mesyuarat itu? Adakah dia membaca e-mel dan SMS? “Beritahu dia saya datang dan akan hubungi dia selepas ini. Ia sangat penting.”

Tetapkan Sasaran Apabila Menggunakan Internet

               Alam maya mempunyai pelbagai aktiviti yang mengasyikkan. Ada bermacam laman web, blog, media alternatif, jaringan sosial, dan bermacam lagi ruang yang boleh “mencuri” masa anda. Oleh yang demikian, sangat penting bagi anda menetapkan disiplin Internet bagi mengelakkan masa anda “terbabas dan dicuri” begitu sahaja.

Sentiasa Ingati Allah

               Dalam surah al-Asr ada mengatakan bahawa orang yang beriman dan berbuat kebaikan adalah golongan yang tidak membazirkan masa mereka. Tetapkan hati kepada Allah, dan milikilah karakter orang yang beriman. Nanti tubuh kita akan sentiasa memastikan bahawa kita menggunakan masa dengan sebaiknya.


Mengenai Penulis

Professional Trainer di RK Training & Management. Lulusan ijazah sarjana muda dan sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan PhD di Universiti Malaya. Merupakan Certified NLP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming, California, U.S. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di TV. Laman web: www.fadzliyusof.com

Artikel ini diambil daripada Majalah Solusi, Isu No. 26, m/s: 73 dan 74.

Isnin, Mei 13, 2013. KATEGORI , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 komen for �Elak daripada "Kehilangan" Masa�

Leave comment

POST TERKINI

KOMEN TERKINI

MEDIA dan GALERI