|| KEKASIH AWAL & AKHIR ||
Assalamualaium w.b.t
SYUKUR kepada Allah kerana dengan limpahan anugerah dan kasih sayang-Nya, kita dapat menikmati nikmat Islam, mengecapi manisnya iman dan menghayati indahnya ihsan. Syukur kepada Allah kerana mengutuskan kepada kita seorang Rasul pembawa risalah kerahmatan sehingga kita dapat mengecapi nikmat-nikmat ini hingga ke hari ini.
Tetapi kemanisan dan keistimewaan nikmat dan limpahan ini tidak akan dapat benar-benar kita rasai tanpa menghayati Islam melalui pintu dan manhaj ‘Hubb‘ atau cinta dan kasih-sayang.
Jika dalam kesempatan yang lepas kita mengimbau keagungan cinta Allah yang menjadi asal segala cinta, marilah pula kita membicarakan tentang cinta Rasulullah SAW yang perlu dijadikan bekal dan azimat bagi umat dalam mengharungi kehidupan ini.
Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, seperti sabdanya,
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (riwayat al-Darimi).
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan material yang tidak kekal sifatnya, Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan roh umatnya agar berjaya di sini dan di alam abadi.
Hidup dan matinya sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk anak-anaknya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.
Allah SWT menjelaskan kecintaan dan keprihatinan Baginda ini melalui firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 128. Malah Rasulullah pernah bersabda:
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (riwayat Bukhari dan Muslim).
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh Baginda semata-mata demi umatnya sehingga Baginda tidak reda seorang pun umatnya terjerumus ke neraka.
Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as:
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan kesesatan yang banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Ibrahim: 36)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.
Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.” Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.
Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Sohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438)
Rasulullah utamakan umatnya
Sifat kasih yang mendalam menyebabkan Baginda sentiasa mengutamakan umatnya, tidak mahu umatnya menanggung kesusahan dan segala beban umatnya rela ditanggung sendiri oleh Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda:
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Aku lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya. (riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah). Bahkan, Allah telah berfirman mengenainya sebagai mana dalam surah al-Ahzab ayat 6.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ulama menyatakan, Nabi SAW adalah lebih utama daripada diri mereka sendiri kerana diri mereka mengajak mereka kepada kerosakan, sedangkan Baginda SAW mengajak mereka kepada keselamatan dan kesejahteraan.
Nabi SAW juga mengambil berat tentang keadaan umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata:
Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”
Rasulullah SAW juga menyimpan doa mustajabnya untuk dijadikan sebagai syafaat bagi umatnya pada hari yang paling penting dan sukar iaitu Hari Kiamat. Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda:
Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)
Rasulullah adalah duta Allah SWT bagi menyampaikan mesej kasih sayang, dan Baginda telah pun melaksanakan amanah tersebut dengan sempurna. Kasih sayang itu telah pun diterjemahkan dalam segala perbuatan dan perkataan Baginda.
Rasulullah SAW menghulurkan kasih sayangnya, tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang, hatta benda-benda tidak bernyawa mengecapi nikmat cinta Baginda. Baginda SAW sentiasa menyuruh bersifat belas dan kasih dan membenci kekerasan dan kekasaran.
Diriwayatkan daripada Aisyah ra bahawa orang-orang Yahudi menemui Nabi SAW, lalu mengucapkan: “Kecelakaan ke atas kamu.” Rasululah SAW bersabda: “Dan ke atasmu juga.” Lalu Aisyah mencelah: “Semoga kecelakaan ditimpakan ke atas kalian juga, laknat Allah dan juga kemurkaan-Nya ke atas kalian.” Rasulullah bersabda: “Perlahan-lahanlah, wahai Aisyah! Berlemah-lembutlah kamu dan janganlah kamu berkasar.”Aisyah berkata: “Apakah kamu tidak mendengar apa yang mereka ucapkan?” Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kamu tidak mendengar apa yang aku katakan? Aku telah pun membalas ucapan mereka. Maka doaku itu dimustajabkan dan doa mereka tidak diperkenankan.” Jelas dalam situasi sebegitupun cinta yang mendalam dalam diri Rasulullah menghalangnya daripada berlebihan dalam membalas kejahatan.
Maka tepatlah Allah telah menggelarkan Baginda sebagai rahmat kepada seluruh alam dan sebagai yang amat pengasih kepada umatnya. Allah SWT telah berkenan mengurniakan kepada Baginda dua daripada nama-nama-Nya yang agung iaitu Ra’uf (Orang yang bersifat belas) dan Rahim (Orang Yang Penyayang).
Di dunia, Nabi SAW sentiasa berusaha memberi keringanan kepada umatnya. Maka Baginda SAW bersabda: “Sekiranya tidak berat ke atas umatku, nescaya aku memerintahkan mereka supaya bersugi pada setiap kali hendak melakukan solat.” Manakala di akhirat, Rasulullah SAW bersabda: “Umatku! Umatku!" Ketika itu, manusia sibuk mendapatkan pertolongan para Nabi sedangkan mereka pula sibuk memikirkan nasib diri mereka. Tetapi Nabi Muhammad sibuk memikirkan umatnya bukan dirinya.
Justeru, wajiblah bagi kita menyaksikan kemuliaan Baginda dalam setiap nikmat yang diterima oleh seorang Muslim kerana Baginda SAW adalah pembuka jalan-jalan kebaikan untuk kita dan menzahirkan bagi kita jalan-jalan yang mulia.
Rasulullah menghulur cinta bukan untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Meneladani cinta Baginda SAW membawa bahagia hingga ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera, menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin dan membalas kasih sayang dengan kasih sayang serta ketaatan yang tidak berbelah bahagi.
Para sahabat adalah orang yang paling hebat kecintaannya terhadap Baginda SAW, maka mereka adalah orang yang paling sempurna ikutannya terhadap sunah Baginda. Bagi mereka melaksanakan perintah Baginda SAW merupakan suatu kebahagiaan yang tidak mengenal erti jemu, lemah dan malas.
Cinta Rasulullah SAW juga unggul kerana ia merentasi tempat dan zaman hingga meliputi umatnya yang tidak pernah bersua dengannya mahupun keluarganya atau sahabatnya.
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Baginda bersabda yang maksudnya, “Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku.” Mendengar sabdanya ini mungkin kita umatnya yang datang kemudian agak sedih dan terkilan kerana tidak turut terangkum dalam sabdaannya itu. Tetapi alangkahnya terhibur hati kita apabila mendengar Rasulullah menyambung lagi sabdanya dengan bersemangat, “Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku.”
Begitulah sekelumit paparan keunggulan cinta Rasulullah kepada umatnya yang sebenarnya telah melemahkan segala kalam dan lisan. Insya-Allah, minggu hadapan ruangan ini akan mengimbau bagaimana selayaknya kita membalas cinta Baginda.
Negeri Sembilan
AMBILLAH MASAMU untuk membaca seketika... PELIKNYA MANUSIA... sanggup menghabiskan masa brjam-jam untuk menonton wayang, rancangan sukan kgemaran dan sbgnya, namun walau seminitpun sudah resah gelisah semata-mata untuk diluangkan ibadah kpd ALLAH SWT
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد
Ya Allah, kekalkanlah hati kami dalam merindui Kekasih-Mu supaya kami sentiasa kekal mengingati-Mu.