Sangka Buruk Kadang Perlu
Soalan:
Saya
mempunyai satu sifat buruk, iaitu sukar bersangka baik kepada orang lain.
Setiap kali seseorang berlaku sopan kepada saya, saya selalu menyangka pasti ada
apa-apanya. Berdosakah memiliki perasaan seperti ini?
Jawapan:
Hidup kita tidak lekang daripada disangka buruk dan menyangka buruk. Oleh itu kunci menanganinya adalah beristighfar dan taubat.
Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia sangat sukar dibuang, namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita hindari sedaya upaya.
Dalam sebuah hadis dinyatakan:
“Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri daripadanya; sial menyial, sangka buruk dan hasad dengki. Maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu mengendahkannya. Bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak). Dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya.” (Musannaf Abd Razzak dengan sanad mursal)
Dr. Yusuf al-Qaradawi menerangkan maksud “jangan membenarkan sangkaan buruk” iaitu jangan mengubah sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya.
Sangkaan Buruk yang Dibolehkan
Soalan:
Saya terfikir, kalau kita selalu bersangka baik, suatu hari nanti kita akan menjadi mangsa tipu daya dan kejahatan orang lain. Ada tak sangka buruk yang dibolehkan dalam Islam?
Jawapan:
Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia dinamakan sebagai berhati-hati atau ‘hazar’.
Contoh yang mudah, seorang pemandu kereta dikehendaki “bersangka buruk” apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka. Ia mesti bersiap kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil atau menurunkan penumpang. Ini jelas sangka buruk yang tidak berdosa.
Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat tinjauan rambang dan menghubungi beberapa orang bagi mendapatkan informasi berguna berkaitan calon.
Saya masih ingat, saya pernah menerima resume sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu. Resume calon ini cukup menarik.
Namun mengikut prosedur, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon sebelum memanggilnya interview.
Akhirnya, kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami dapatkan komen beberapa orang lagi demi memastikan maklumat yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun, maklumat yang sama diperolehi.
Sangka Buruk Yang Haram
Soalan:
Menurut Ustaz, apakah sebenarnya punca dan sebab lahirnya perasaan sangka buruk terhadap orang lain?
Jawapan:
Sangka buruk jenis haram dan berdosa biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad dengki dan berniat menjatuhkan.
Sangka buruk jenis ini hakikatnya lahir dari jiwa seseorang yang kotor. Ia adalah refleksi dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau daripada jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.
Justeru, dalam mindanya mustahil ada orang yang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda, dan muslihat di sebaliknya. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya.
Jenis 1: Kerana Aliran Politik
Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini sangat popular pada masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat.
Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.
Jenis 2: Kerana Aliran Pemikiran Ghuluw (melampau)
Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.
Masing-masing kelihatan suka jika pihak lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud dikalangan mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.
Tatkala itu, sangka buruk sentiasa menjadi “idaman” dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan dengan sejahatnya.
Jenis 3: Pertikai Keikhlasan
Jenis yang ketiga ini ialah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat tabiat itu sudah mendarah daging hingga kehidupan seharian dipenuhi dengan sangka buruk.
Saya masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu. Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini. Ada individu menghantar link satu forum kepada saya. Forum itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram. Tiba-tiba muncul seorang forumer yang berkata:
“Puas aku fikir dan cari di web Zaharuddin ini, apakah niatnya yang sebenar menulis isu ini dan menyusahkan kita?
Akhirnya aku jumpa. Rupanya dia nak jual vcd dia!”
Demikian dahsyatnya manusia pada zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan di sebalik segala jenis kebaikan. Baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dunia.
Ini contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu? Sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruk kepadanya.
Jika mereka memang mempunyai agenda tetapi agenda yang halal, maka tiada salahnya. Selagi mana zahir tindakan mereka tadi adalah baik serta menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.
Allah mengingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang). Kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” (Surah al-Hujurat: 12)
Rumusan: Jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa.
Banyakkan bersangka
baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat hanya kerana agenda
akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas
kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang
sepertinya.
Biodata
Penulis:
Sarjana Muda (Usuluddin), UM. Sarjana (Fiqh dan Usul Fiqh), Universiti Yarmouk, Jordan. PhD (Islamic Finance), University of Wales, United Kingdom. Berguru dengan ramai ulama besar antaranya Sheikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah, Sheikh Muhammad ‘Uqlah dan mendapat ijazah ilmiah daripada Dr. Yusuf al-Qaradawi. Kini Penolong Professor di UIAM dan panel syariah JAKIM. Dekati beliau di www.zaharuddin.net.
-Artikel diambil daripada majalah al-Ustaz, Isu No. 12 dan diedit dalam kuantiti sedikit oleh blogger tanpa mengubah maksud asal teks.
ilmu baru.. tw ... :)
*tq