Duhai mata yang sedang menangis
Duhai mata yang sedang menangis,
Mungkin
tika ini kau sedang bahagia, mungkin juga kau sedang berduka. Apapun
situasimu, air yang menggenangi kelopakmu dan mengalir di pipimu adalah
anugerah Allah s.w.t. yang tak terhingga. Ia mampu membuang racun di
mata dan di tubuhmu kemudiaan disusuli ketenangan jiwa. Bersyukurlah
pada-Nya kerana hingga saat ini matamu masih mampu menangis.
Aduh!
Sungguh
hairan kumelihat orang yang merasakan tangisan itu satu kelemahan.
Malah meanggapnya satu lambang ketidakmatangan. Sedangkan Allah s.w.t.
merakam mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya,
“Dan mereka menyungkur (sujud) di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Al-Isra’: 109)
“Apabila
dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka
menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (Maryam: 58)
Duhai mata yang sedang menangis,
Tahukah
dikau, jika dikaji dari perspektif sains, tangisanmu mampu menjadi
terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya. Tatkala
dirimu dalam ketakutan, unsur-unsur berbahaya dijana oleh tubuhmu. Air
mata secara semulajadi boleh membuangnya. Otakmu pula berkerja
mengeluarkan unsur-unsur kimia daripada air mata. Bukan itu saja,
tangisan menambah jumlah degupan jantung sebagai latihan berguna buat
sekatan rongga badan, kedua-dua bahu dan urat-urat dada. Setelah
tangisanmu reda, kembalilah degupan jantung ke asalnya dan ketenangan
mula menguasai jiwa. Subhanallah, hebat sungguh penciptaan air mata!
Duhai mata yang sedang menangis,
Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan. Samada
kau lelaki atau wanita, kau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea
dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia
mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.
Duhai mata yang sedang menangis,
Jika
kau lelaki, kenapa perlu malu pada tangisan? Mungkin sosiobudaya
mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan dalam mengendalikan
kemampuan. Kau mungkin dipisahkan antara diri dengan perasaanmu sendiri
oleh didikan silam. Apapun, tak siapa dapat
menafikan kau juga insan yang punyai hati dan perasaan. Isi hatimu
kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan tekanan
dan risiko penyakit. Usah menipu diri berlagak kuat dengan menafikan air
mata kerana kelak badanmu mendapat darurat.
Jika
kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki. Tahukah
dikau, penyayang-Nya Allah s.w.t padamu hingga Dia menciptakan
kalenjar-kalenjar air matamu lebih besar daripada kalenjar-kalenjar air
mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan kau menangis
empat kali lebih banyak daripada lelaki. Ianya antara penyebab
panjangnya usiamu berbanding lelaki. Masakan tidak, air matamu keluar
bersama keluarnya peratusan racun dari tubuh. Doktor pakar mata berkata,
air mata penting untuk menyucikan mata daripada racun yang keluar
akibat ketegangan urat saraf perasaan dan emosi yang tidak stabil.
Duhai mata yang sedang menangis,
Sungguh
bertuah kau masih mampu menangis. Usah ditahan tangisan itu. Luahkannya
dengan rasa takut dan harap pada Tuhanmu. Benar, tangisanmu itu tak
mampu mengembalikan masa lalumu. Jangan biarkan tangisan itu membibitkan
kabus pada masa depanmu. Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangmu untuk melonjakan
amal dan perubahan untuk hari esok. Tangisan kerana Allah s.w.t. ketika
gembira atau derita adalah ubat mujarab untuk mencari ketenangan hidup.
Dengarilah pesanan Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan kalam Yang Esa,
“Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah.” (HR Ahmad dan an-Nasa’i).
-Diambil daripada blog Ustazah Fatimah Syarha- http://sebarkanbahagia.blogspot.com/2013/04/duhai-mata-yang-sedang-menangis.html
-Diambil daripada blog Ustazah Fatimah Syarha- http://sebarkanbahagia.blogspot.com/2013/04/duhai-mata-yang-sedang-menangis.html
(T~T)